KCEC One lengkapi Pelan Induk Pembangunan Greater Miri
MIRI: Pembangunan Kenyalang Convention & Exhibition Centre ONE (KCEC ONE) melengkapi Pelan Induk Pembangunan Greater Miri dalam usaha mentransformasikan bandar raya ini menjadi sebuah bandar moden, berdaya tahan, mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan sektor swasta seperti Kenyalang Smart City melengkapi pelbagai projek infrastruktur awam strategik yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta pembangunan Miri.
Beliau berkata antara projek strategik utama di bawah Pelan Induk Pembangunan Greater Miri ialah pembangunan Pelabuhan Miri, pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Miri bernilai RM445 juta, Projek Jalan Miri–Marudi–Mulu bernilai RM3.8 bilion, naik taraf Kompleks ICQS Sungai Tujuh serta cadangan jambatan ikonik yang menghubungkan Miri, Pulau Melayu dan Marina.
“KCEC One merupakan antara pembangunan utama dalam ekosistem tersebut dan berpotensi menjadi pemangkin kepada industri Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).
“Pusat berkenaan berupaya menarik acara antarabangsa, pelaburan perniagaan dan pengunjung, selain mengukuhkan kedudukan Miri sebagai destinasi pilihan bagi persidangan, pameran, ekspo perdagangan dan acara berskala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis ‘Soft Launching’ Kenyalang Convention & Exhibition Centre ONE (KCEC ONE), Kenyalang Smart City di Senadin, Miri pada Ahad.
Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah pembangunan KCEC One turut mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap masa depan Miri serta potensi bandar raya ini sebagai hab ekonomi, pelancongan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perniagaan di utara Sarawak.
“Pembangunan Kenyalang Smart City selari dengan visi Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, yang memberi penekanan terhadap transformasi digital, tenaga boleh diperbaharui, teknologi hidrogen dan pembangunan bandar pintar,” katanya.
KCEC ONE merupakan sebahagian daripada pembangunan Kenyalang Smart City bernilai RM10.5 bilion, iaitu sebuah pembangunan bandar bersepadu yang merangkumi248 unit pangsapuri servis, 44 lot kedai komersial, Borneo Adventure Water Theme Park yang bakal dibangunkan serta Fudan Diagnostic Centre.
Dengan kapasiti tempat duduk sehingga 3,500 tetamu, KCEC ONE dijangka meletakkan Miri sebagai destinasi kompetitif bagi sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), selain menarik penganjuran acara serantau dan antarabangsa yang akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan, perhotelan, peruncitan dan perkhidmatan.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, Residen Miri Galong Luang dan Pengasas merangkap Pengerusi Imasa Dinasti Sdn. Bhd, Ar. Teo Ah Khing.- EDISI UKAS