Lundu Heart Day Perkasa Agenda Kesihatan Rakyat Sempena Sambutan Hari Sarawak
LUNDU: Sambutan Hari Sarawak 2026 di Daerah Lundu diberi dimensi baharu apabila aspek kesihatan rakyat dijadikan fokus utama menerusi penganjuran Lundu Heart Day, sekali gus memperkukuh usaha membudayakan gaya hidup sihat sebagai asas kepada pembangunan masyarakat yang sejahtera.
Program anjuran Yayasan Jantung Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu itu berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta di Townsquare Lundu menerusi pelbagai aktiviti kesihatan dan riadah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, sambutan Hari Sarawak tahun ini amat signifikan kerana genap sedekad Hari Sarawak diisytiharkan sebagai cuti umum oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, sekali gus membolehkan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama bersama-sama menghayati sejarah serta memperkukuh semangat perpaduan.
Beliau berkata kemajuan sesebuah negeri tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut bergantung kepada rakyat yang sihat, cergas dan berdaya tahan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara mampan.
“Kesihatan rakyat merupakan aset penting dalam membangunkan negeri. Masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat akan menjadi pemacu kepada kemajuan Sarawak serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Jantung Sarawak, Datuk Amar Jamilah Anu berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit tidak berjangkit.
Bertemakan ‘Lundu Sihat Bersama, Sarawak Maju!’, program tersebut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Walk a Mile, senam sihat, saringan kesihatan percuma, pemeriksaan sendiri payudara serta cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah basikal lipat.
Penganjuran Lundu Heart Day turut mendapat sokongan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta Konvoi Motosikal Pergerakan Pemuda PBB Tanjong Datu, mencerminkan kerjasama erat pelbagai pihak dalam memperkukuh agenda kesihatan awam bersempena sambutan Hari Sarawak 2026.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Wan Fauzi Wan Ismail dan Ketua Polis Daerah Lundu Supt Sudirman Kram. -EDISI UKAS