Pemahaman Sejarah Pembentukan Malaysia, MA63 Perlu Diperkukuh Dalam Era AI
SIBU: Pemahaman yang tepat mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus diperkukuh dalam kalangan generasi muda bagi memastikan fakta sejarah tidak disalah tafsir, terutama ketika kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi cara masyarakat mendapatkan dan memproses maklumat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penguasaan terhadap sejarah pembentukan Malaysia dan kandungan MA63 amat penting bagi membolehkan rakyat memahami asas pembentukan negara serta menghargai hak-hak Sarawak yang termaktub dalam perjanjian tersebut.
Menurut beliau, Malaysia dibentuk hasil persetujuan wilayah-wilayah yang bergabung untuk menubuhkan sebuah negara berdaulat, justeru sejarah itu perlu difahami secara menyeluruh supaya tidak disalah tafsir oleh generasi akan datang.
“Pada masa lalu, Sarawak mempunyai kekangan dari segi keupayaan untuk melaksanakan hak-hak tersebut, namun keadaan kini berbeza apabila negeri ini semakin kukuh dari segi ekonomi dan institusi.
“Justeru, kita kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memperjuangkan hak-hak Sarawak selaras dengan semangat MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini pada Rabu.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol selaku moderator.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar institusi pengajian tinggi memperkukuh pengajaran berkaitan sejarah pembentukan Malaysia dan MA63 bagi memastikan graduan serta bakal penjawat awam mempunyai kefahaman yang jelas mengenai asas pembentukan negara.
Menurut beliau, penguasaan sejarah yang berteraskan fakta sahih membolehkan rakyat menilai sesuatu maklumat secara lebih kritis, khususnya ketika AI semakin digunakan sebagai sumber rujukan dan pencarian maklumat.
"AI hanya mampu menghasilkan maklumat berdasarkan data yang dipelajarinya dan tidak semestinya menggambarkan fakta yang tepat sekiranya sumber rujukannya tidak sahih," jelasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda agar terus merujuk sumber sejarah yang berwibawa serta memperkukuh pemahaman terhadap MA63 bagi memastikan fakta sejarah terus dipelihara dan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia difahami dengan tepat.-EDISI UKAS