Generasi Muda Perlu Hayati Tiga Tarikh Bersejarah Negara, Perkukuh Jati Diri
SIMANGGANG: Generasi muda khususnya pelajar di Sarawak perlu menghayati serta memahami signifikan tiga tarikh penting dalam sejarah negara iaitu 31 Ogos, 16 September dan 22 Julai sebagai asas memperkukuh jati diri, semangat patriotisme serta kefahaman terhadap pembentukan Malaysia.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, ketiga-tiga tarikh tersebut mempunyai nilai sejarah yang tersendiri iaitu Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan Hari Sarawak pada 22 Julai yang menandakan Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri sebelum pembentukan Malaysia.
Menurut beliau, pemahaman yang tepat terhadap sejarah amat penting bagi mengelakkan kekeliruan mengenai kedudukan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
"Masih ada pihak sehingga hari ini mengatakan Sarawak masuk Malaysia, sedangkan hakikatnya Sarawak merupakan antara wilayah yang membantu membentuk Malaysia.
"Begitu juga dengan 31 Ogos yang merupakan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu sebelum dikenali sebagai Hari Kebangsaan, manakala 22 Julai ialah tarikh Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri sebelum menyertai pembentukan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan 22 Seven Pickleball Challenge Sri Aman 2026 (Semarak Kemerdekaan) anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Kelab Croc Pickleball Simanggang di Mini Stadium Majlis Daerah Sri Aman pada Rabu.
Mohamad Shafizan berkata, penghayatan terhadap peristiwa bersejarah itu akan membantu generasi muda memahami perjuangan negara, sekali gus menyemai semangat patriotisme dan memperkukuh identiti sebagai rakyat Malaysia.
"Hari Sarawak khususnya perlu diraikan kerana ia menandakan tarikh negeri ini memperoleh pemerintahan sendiri sebelum pembentukan Malaysia.
"Justeru, saya berharap para pelajar bukan sahaja mengingati tarikh-tarikh bersejarah ini, malah memahami nilai patriotisme, perpaduan dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada Kelab Croc Pickleball Simanggang bagi menyokong penganjuran aktiviti kelab pada masa hadapan.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Pegawai UKAS Bahagian Sri Aman, Zaidil Ripin, pegawai-pegawai jabatan kerajaan, ketua masyarakat serta tetamu lain.
Terdahulu, Pertandingan 22 Seven Pickleball Challenge Sri Aman 2026 menyaksikan pasangan Joel Wilton Empirang dan Mohd Kamarul Hamid muncul juara kategori lelaki, manakala pasangan Audrey Lee Hui Eng dan Bibi Nurfaezah MD Mujahidin Sonata menjuarai kategori wanita.-EDISI UKAS