MAKSAK Wanita Sarawak Santuni Pesakit Kanak-Kanak, Sumbang Van Kempen Derma Darah Hospital Sibu
SIBU: Sempena Sambutan Hari Sarawak 2026, MAKSAK Wanita Sarawak tampil mengadakan program menyantuni peaskit kanak-kanak di Hospital Sibu selain menyampaikan sumbangan van untuk kegunaan program kempen derma darah.
Program sebagai usaha memperkukuh sokongan terhadap perkhidmatan kesihatan di Hospital Sibu itu diadakan petang tadi dengan kehadiran anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari.
Pada majlis tersebut, Pengarah Hospital Sibu, Dr. Nanthakumar Thirunavukkarasu telah menyampaikan taklimat ringkas mengenai peranan, pencapaian serta perkembangan Hospital Sibu dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
Sebagai tanda keprihatinan, MAKSAK Cares turut menyampaikan sumbangan kepada 80 pesakit kanak-kanak yang menerima rawatan di Wad Paediatrik Hospital Sibu melalui wakil pentadbiran hospital.
Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik sebuah van Toyota Hiace bagi kegunaan Program Kempen Derma Darah Hospital Sibu yang merupakan sumbangan PANSAR Sdn. Bhd.
Penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi PANSAR Sdn. Bhd., David Tai kepada Dr. Nanthakumar.
Selain itu, Dayang Norjihan turut menyampaikan sumbangan peribadi berupa angpau kepada 80 pesakit kanak-kanak di Wad Paediatrik sebagai tanda kasih sayang dan sokongan kepada mereka serta keluarga.
Program diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada kakitangan Hospital Sibu sebagai penghargaan atas komitmen mereka dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat.
Ketika ditemui pemberita, Dr. Nanthakumar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MAKSAK Wanita Sarawak atas kunjungan tersebut yang disifatkan sebagai suntikan semangat kepada seluruh warga Hospital Sibu.
Beliau berkata lawatan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara hospital dengan masyarakat, malah memberi peluang untuk berkongsi pengalaman, pencapaian serta usaha yang telah dilaksanakan oleh Hospital Sibu selama ini.
"Objektif lawatan ini adalah untuk memberi motivasi kepada kakitangan kami supaya terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam menjaga kesihatan rakyat Sarawak, khususnya masyarakat di Sibu.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir serta kepada seluruh warga Hospital Sibu yang telah bekerja keras memastikan hospital ini terus beroperasi dengan baik dan cekap," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PANSAR Sdn. Bhd. atas sumbangan van yang disifatkan mampu memperkukuh pelaksanaan Program Kempen Derma Darah Hospital Sibu serta membantu meningkatkan kecekapan pelaksanaan pelbagai program dan perkhidmatan hospital pada masa hadapan.
Turut hadir Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Dato Baduyah Bujang, Pengerusi Bersama Biro Kebajikan MAKSAK Wanita Sarawak Datin Daisy Dayus, Pengerusi Biro Pendidikan MAKSAK Wanita Sarawak Datin Fauziah Mardiana Sepawi, Setiausaha Kehormat MAKSAK Wanita Sarawak Norhayati Mornie, Bendahari Kehormat MAKSAK Wanita Sarawak Gladys Lim Ai Hui, wakil MAKSAK Wanita Sibu serta tetamu lain. - EDISI UKAS