Perancangan Fasa 2 Lengkapkan Kemudahan Komuniti Di Dewan Baharu Kampung Siluk
LUNDU: Kemudahan komuniti di Kampung Siluk bakal dipertingkatkan menerusi pelaksanaan Fasa 2 pembangunan Dewan Serbaguna Kampung Siluk yang akan melengkapkan prasarana sedia ada demi manfaat penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kerja-kerja kemasan kawasan sekitar dewan akan diteruskan melibatkan kerja meratakan tanah, menurap kawasan parkir serta pembinaan gelanggang permainan bagi menjadikan kemudahan itu lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Program Gotong-Royong Perdana Kampung Siluk yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Siluk di Dewan Serbaguna Kampung Siluk, pada Rabu.
Menurut beliau, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan diminta menyediakan anggaran kos bagi membolehkan pelaksanaan projek Fasa 2 direalisasikan dalam usaha memperkukuh kemudahan awam di kampung berkenaan.
Pada masa sama, beliau memaklumkan beberapa cadangan projek pembangunan lain termasuk menaik taraf jalan pertanian akan dibincangkan sebaik sahaja peruntukan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) disalurkan.
Billy berkata Dewan Serbaguna Kampung Siluk yang telah siap dibina akan menjadi pusat pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan, sekali gus mengeratkan hubungan penduduk serta memperkasa pembangunan sosial di kampung tersebut. -EDISI UKAS