22 Julai Lambang Perpaduan, Seruan Perkukuh Pembinaan Negeri Sarawak
KUCHING: Sambutan Hari Sarawak pada setiap 22 Julai bukan sekadar cuti umum, sebaliknya menjadi simbol penting perpaduan serta peringatan terhadap usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan dan pembinaan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata tarikh tersebut telah diwartakan sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak pada tahun 2016, sekali gus memberi makna besar kepada seluruh rakyat Sarawak.
Menurut beliau, sambutan ini perlu diraikan oleh semua rakyat Sarawak tanpa mengira lokasi, termasuk mereka yang berada di luar negeri, sebagai tanda jati diri dan kebersamaan sebagai anak Sarawak.
“Setiap tahun, kerajaan Sarawak menganjurkan sambutan rasmi secara bergilir di pelbagai bandar dan daerah bagi memastikan penglibatan menyeluruh rakyat di seluruh negeri,” katanya dalam perutusan sempena Hari Sarawak 2026 pada Selasa.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan tersebut serta tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya turut mengambil bahagian secara aktif.
Tambahnya, Hari Sarawak juga merupakan satu peringatan penting kepada rakyat mengenai matlamat yang perlu dicapai serta usaha yang perlu diteruskan dalam agenda pembangunan negeri.
“22 Julai adalah hari yang sangat penting untuk kita menilai pencapaian dan merancang masa depan Sarawak ke arah pembinaan negeri yang lebih maju dan inklusif,” ujarnya.
Beliau mengakhiri perutusan dengan ucapan Selamat Hari Sarawak kepada seluruh rakyat negeri ini sambil menyeru agar semangat perpaduan terus diperkukuh demi kemajuan bersama.-EDISI UKAS