Pembangunan Bandar & Luar Bandar Terus Jadi Keutamaan Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar bagi meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, usaha pembangunan perlu merangkumi kedua-dua kawasan supaya penduduk bandar dan luar bandar sama-sama mendapat manfaat daripada kemajuan negeri.
“Kita berlaku adil di mana penduduk bandar kita bantu, penduduk luar bandar juga kita bantu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur luar bandar turut diberi perhatian melalui usaha memperluas jaringan jalan raya bagi menghubungkan kawasan pedalaman serta meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan dan peluang ekonomi.
Dalam ucapannya, Premier Sarawak turut menyentuh peruntukan berjumlah RM3.8 bilion bagi pembangunan jalan luar bandar sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan perhubungan di kawasan berkenaan.
Pendekatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja, sebaliknya turut merangkumi kawasan pedalaman yang memerlukan kemudahan infrastruktur lebih baik. -EDISI UKAS