Batu Kawa Berpotensi Muncul Pusat Bandar Bersepadu Setanding KLCC
KUCHING: Batu Kawa berpotensi dibangunkan sebagai pusat bandar bersepadu dengan konsep seumpama Kuala Lumpur City Centre (KLCC), berdasarkan keluasan kawasan dan kemudahan yang tersedia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, kelebihan tersebut memberi ruang kepada pembangunan lebih menyeluruh bagi menjadikan Batu Kawa antara kawasan pertumbuhan baharu di Kuching.
“Batu Kawa mempunyai ruang pembangunan yang luas serta kemudahan yang boleh dibangunkan dengan konsep bersepadu seperti KLCC,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, Batu Kawa telah mengalami perubahan ketara berbanding keadaannya pada masa lalu, seiring perkembangan Kuching yang semakin meluas ke kawasan pinggir bandar.
Sehubungan itu, pembangunan kawasan berkenaan perlu memanfaatkan ruang yang tersedia bagi menyediakan persekitaran bandar yang lebih moden dan dilengkapi kemudahan untuk penduduk.
Usaha memperkukuh pembangunan kawasan itu turut disokong melalui Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong bernilai RM207.88 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Projek sepanjang 5.664 kilometer itu menghubungkan Persimpangan Batu Kawa-Matang di Sungai Moyan dengan Persimpangan Jalan Stephen Yong, selain melibatkan pembinaan dua jambatan konkrit bertetulang merentasi Sungai Moyan dan Sungai Sarawak. -EDISI UKAS