Perkukuh Perpaduan, Kestabilan & Kemakmuran Demi Masa Depan Sarawak Yang Maju
KUCHING: Perpaduan, kestabilan dan kemakmuran yang menjadi asas pembangunan Sarawak perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan negeri ini melakar kejayaan sebagai sebuah wilayah yang maju, mampan dan berpendapatan tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Hari Sarawak yang disambut pada setiap 22 Julai bukan sekadar memperingati sejarah, malah menjadi simbol semangat rakyat Sarawak yang sentiasa bersatu hati, saling menghormati dan berganding bahu demi kemajuan negeri.
“Kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang menjadi identiti Sarawak merupakan kekuatan terbesar kita.
“Dengan semangat Segulai Sejalai, marilah kita terus melangkah ke hadapan, memperkukuh perpaduan, memacu pembangunan dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya menerusi Perutusan Khas sempena Hari Sarawak 2026 pada Selasa.
Selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, Kerajaan Sarawak komited mentransformasikan Sarawak sebagai sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi yang dipacu oleh ekonomi digital, tenaga hijau, inovasi, pembangunan modal insan dan tadbir urus yang cekap.
“Insya-Allah, dengan iltizam, keyakinan dan kerjasama semua pihak, Sarawak akan terus melakar kejayaan sebagai sebuah wilayah yang maju, mampan dan berpendapatan tinggi demi generasi hari ini dan masa hadapan,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS