RM95,590 Bantuan Pertanian Disalur Kepada Komuniti Tani Limbang
LIMBANG: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sektor pertanian di Limbang menerusi penyaluran bantuan bernilai RM95,590 bagi menyokong penggunaan teknologi, jentera dan input pertanian dalam kalangan komuniti tani.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, usaha berkenaan penting bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional serta membantu meningkatkan pendapatan petani.
Menurutnya, sektor pertanian kini perlu bergerak seiring perkembangan teknologi, inovasi dan keusahawanan bagi meningkatkan daya saing serta menarik lebih ramai golongan belia menceburi bidang berkenaan.
“Pertanian hari ini bukan lagi sekadar kerja tradisional, tetapi telah berkembang menjadi satu bidang yang berasaskan teknologi, inovasi dan keusahawanan yang mampu menjana pendapatan lebih tinggi serta menjamin masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian ‘Agriculture Community Outreach Programme’ (AgriCOP), di sini pada Jumaat.
Menyentuh mengenai program, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, AgriCOP turut menjadi platform bagi menyampaikan teknologi dan pengetahuan terkini kepada komuniti petani menerusi ceramah, pameran serta demonstrasi lapangan.
Katanya, pendekatan turun padang itu juga membolehkan Jabatan Pertanian mengenal pasti keperluan serta cabaran sebenar yang dihadapi petani supaya bantuan dan intervensi dapat disalurkan secara lebih bersasar.
“Penyediaan jentera dan input pertanian yang bersesuaian dapat membantu mengurangkan penggunaan masa dan tenaga, di samping meningkatkan hasil serta pendapatan isi rumah luar bandar,” katanya.
Untuk rekod, sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), seramai 194 petani di Limbang menerima bantuan melibatkan keluasan 99.5 hektar menerusi 46 projek pertanian dengan peruntukan RM1.085 juta.
Sementara itu, sehingga Julai 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), seramai 39 petani telah menerima bantuan melibatkan kawasan seluas 21 hektar dengan peruntukan RM391,000.
Pada majlis sama, mesin penuai padi dan mesin pengisar padi bernilai RM15,050 diserahkan kepada 98 keluarga tani, manakala mesin pengupas buah kopi dan mesin pengupas biji kopi kering bernilai RM7,550 disalurkan kepada 20 petani.
Turut disalurkan bantuan baja kelapa sawit dan lada (BBKSL) bernilai RM72,990 kepada 53 pengusaha.
Hadir sama, ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, wakil Residen Bahagian Limbang, Cherylynna Leeza Roland, wakil Pegawai Pertanian Limbang, Johny Luhat dan Ketua Kampung Reda, Andria Ujan. -EDISI UKAS