Hari Sarawak Platform Perkukuh Perpaduan & Gaya Hidup Sihat Dalam Kalangan Rakyat
KUCHING: Sambutan Hari Sarawak perlu dijadikan platform untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta menyemai amalan gaya hidup sihat sebagai asas kepada pembangunan negeri yang mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, Hari Sarawak yang diwartakan sebagai cuti umum oleh Mantan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Adenan Satem pada 22 Julai 2016 bukan sekadar hari kelepasan, sebaliknya merupakan hari istimewa untuk seluruh anak Sarawak meraikan identiti, kebersamaan dan semangat cintakan negeri.
Menurut beliau, Allahyarham mengimpikan agar setiap anak Sarawak, tanpa mengira kaum, agama mahupun lokasi mereka berada, menyambut Hari Sarawak dengan cara tersendiri sebagai tanda kebanggaan terhadap negeri kelahiran mereka.
“Semangat Hari Sarawak adalah untuk semua anak Sarawak. Tidak kira di mana anda berada, sambutlah Hari Sarawak mengikut cara masing-masing.
“Hari ini kita berkumpul, berjalan bersama-sama tanpa mengira sama ada Iban, Melayu, Cina, India atau kaum lain. Inilah semangat kebersamaan yang perlu terus dipupuk dalam kalangan rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Walk for Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak 2026, di sini pada Rabu.
Datuk Amar Dr Sim turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) atas komitmen menganjurkan pelbagai aktiviti yang menyemarakkan sambutan Hari Sarawak.
Menurut beliau, semangat kebersamaan yang diterapkan menerusi program seumpama itu penting dalam usaha membina identiti dan jati diri rakyat, sekali gus memperkukuh agenda pembinaan bangsa Sarawak.
Beliau berkata, Sarawak kini semakin mendapat perhatian dan menjadi contoh kepada banyak pihak, justeru rakyat perlu memainkan peranan dengan menjaga kesihatan agar terus mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Apabila rakyat sihat, Sarawak juga akan menjadi lebih sihat. Sebaliknya, jika rakyat tidak sihat, negeri turut menanggung kesannya.
“Sebab itu saya menggalakkan semua rakyat mengamalkan gaya hidup sihat supaya kita dapat terus menyumbang kepada kemajuan Sarawak,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa seseorang akan kekal sebagai anak Sarawak walaupun menetap atau menjadi warganegara di negara lain kerana tempat kelahiran mereka tetap Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat supaya menghargai dan menjunjung tinggi bendera Sarawak sebagai lambang identiti, kebanggaan serta penyatuan seluruh anak Sarawak di mana sahaja mereka berada.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Ramzi Abdillah yang mewakili Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Abang Ismawi Abang Ali, Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Zaiedi Suhaili dan Pemangku Setiausaha Kuching Selatan Wong Ming Kong. -EDISI UKAS