Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Dan Toh Puan Sertai Unity Walk Sempena Sambutan Hari Sarawak 2026
SIBU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyertai program Unity Walk sempena sambutan Hari Sarawak 2026 yang menghimpunkan lebih 10,000 peserta di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini, pada Rabu.
Orang ramai mula membanjiri dataran seawal jam 6 pagi bagi mengambil bahagian dalam program yang menjadi antara acara utama sambutan Hari Sarawak tahun ini.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan tiba kira-kira jam 7 pagi sebelum merasmikan program berkenaan.
Mengiringi beliau ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Sebaik selesai majlis perasmian, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan berjalan bersama ribuan peserta dalam suasana meriah yang mencerminkan semangat perpaduan sempena sambutan Hari Sarawak.
Beliau kemudian meluangkan masa melawat Pameran Sejarah Hari Sarawak 2026 sebelum menghadiri jamuan minum pagi di Sibu Kitchen.
Pada majlis itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan diraikan dengan jamuan bersama tetamu sebelum menerima cenderamata berupa sampin dan selendang atau keringkam yang disampaikan oleh Ketua-Ketua Masyarakat Bahagian Sibu diketuai Temenggong Dato Sri Wan Hamid Edruce.
Pada sebelah malam, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dijadual menghadiri Perhimpunan Hari Sarawak 2026 dan Konsert Rakyat di lokasi sama yang turut dijangka dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. - EDISI UKAS