AgriCOP Nanga Semah Perkasa Kemahiran Pertanian, Tingkat Pendapatan Komuniti Luar Bandar
DARO: ‘Agriculture Community Outreach Programme’ (AgriCOP) Nanga Semah menjadi platform memperkasa pengetahuan dan kemahiran masyarakat luar bandar dalam bidang pertanian bagi meningkatkan produktiviti, menjana pendapatan serta menyokong pembangunan sektor agromakanan yang mampan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kapasiti komuniti melalui latihan teknikal dan pemindahan teknologi pertanian.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) Nanga Semah di Rumah Lawrence Merka Jamba, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, usaha memperkasakan komuniti menerusi latihan pertanian amat penting bagi membantu masyarakat memanfaatkan potensi tanah yang dimiliki secara lebih berkesan, sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran dan taraf ekonomi keluarga.
Tambah Dr Safiee lagi, pembangunan sektor pertanian bukan sahaja berperanan menjamin keterjaminan makanan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui penghasilan produk bernilai tambah serta amalan pertanian yang mampan.
Untuk rekod, seramai 56 peserta dari Nanga Semah dan Kampung Penasu telah mengikuti latihan teknikal yang merangkumi kursus penanaman limau serta penghasilan baja organik sepanjang program tersebut. -EDISI UKAS