Penglibatan Komuniti Semarak Sambutan Hari Sarawak Di Bintulu
BINTULU: Penglibatan komuniti dalam pelbagai aktiviti sempena Hari Sarawak penting bagi memastikan sambutan itu terus dihayati dan diraikan oleh rakyat di seluruh negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts Johnny Pang Leong Ming berkata, penganjuran Sarawak Day 4x4 Family Gathering Vol. 3 membuktikan masyarakat setempat mengambil inisiatif menganjurkan program bagi memeriahkan sambutan Hari Sarawak, walaupun acara rasmi peringkat negeri berlangsung di Sibu.
“Program seperti ini bukan sekadar konvoi santai, tetapi menjadi simbol semangat cintakan Sarawak dan kebersamaan rakyat sempena Hari Sarawak,” katanya ketika ditemui media sebelum melepaskan peserta konvoi di Dewan Suarah Bintulu pada Rabu.
Konvoi anjuran bersama Kelab Pacuan Empat Roda BTC, Kelab Pacuan Empat Roda CHAMO dan Kelab Pacuan Empat Roda BBKC itu melalui Jambatan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Jambatan Tanjong Batu dan Jalan Persisiran Pantai sebelum tiba di Pantai Batu Mandi, Similajau.
Tambah beliau, penyertaan komuniti pacuan empat roda daripada pelbagai kawasan mencerminkan semangat kebersamaan rakyat dalam meraikan Hari Sarawak melalui aktiviti yang sihat dan bermanfaat.
Beliau berharap lebih banyak pertubuhan dan komuniti tampil menganjurkan program sempena Hari Sarawak pada masa hadapan bagi menyemarakkan lagi sambutan hari bersejarah itu. -EDISI UKAS