Penganjuran Pesta Berasaskan CANFF Perkukuh Sektor Pelancongan dan Ekonomi Limbang
LIMBANG: Penganjuran pelbagai pesta berasaskan ‘Culture, Adventure, Nature, Food and Festival’ (CANFF) terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan sekali gus memperkukuh kedudukan Limbang sebagai antara pintu masuk utama pelancong ke Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pelbagai acara yang dirancang sepanjang tahun ini bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong, malah memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Limbang merupakan kawasan yang menyumbang kepada kedatangan pelancong ke Sarawak melalui Brunei Darussalam, Sabah dan Kalimantan.
“Dengan penganjuran program-program ini, ia akan merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi,” katanya semasa ditemui pihak media semasa melawat ke Tapak Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026 di Kampung Mengatai, pada Selasa.
Menurut beliau, antara acara utama yang akan berlangsung ialah Pesta Makan Tahun Kedayan pada Ogos, diikuti Pesta Limbang dan Pesta Kebudayaan Masyarakat Tagal pada September, Pesta Badudun dan Lumba Kerbau di Kampung Mengatai pada Oktober, serta Hari Belia, Limbang Motor Day dan Tarik Tali Antarabangsa pada November dan akhir sekali Sambutan Ambang Tahun Baharu 2027.
Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan prasarana bagi memastikan penganjuran acara berjalan lancar termasuk peruntukan RTP berjumlah RM250,000 untuk menaik taraf kemudahan di Kampung Mengatai sebagai persiapan Pesta Badudun dan Lumba Kerbau.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengadakan lawatan ke Tapak Pesta Makan Tahun Kedayan 2026, iaitu antara acara yang bakal memeriahkan kalendar pelancongan Limbang yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos ini di Kampung Nauran.
Menurutnya, pesta yang menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung itu bukan sahaja menjadi platform mempromosikan warisan dan budaya etnik Kedayan, malah dijangka merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi tempatan, selaras dengan usaha menjadikan Limbang sebagai destinasi pelancongan yang lebih berdaya saing.
Beliau turut menggalakkan setiap kampung menganjurkan sekurang-kurangnya satu program setiap tahun bagi menghidupkan suasana kampung, menarik kehadiran pelancong serta membuka peluang kepada penduduk mempromosikan produk tempatan dan kraftangan.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan infrastruktur seperti Sabah-Sarawak Link Road (SSLR), Trans Borneo Highway dan Northern Coastal Highway dijangka meningkatkan lagi jumlah pelancong ke Limbang, selain Tebingan Sungai Limbang yang kini menjadi tarikan selepas tular di media sosial.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak terus berganding bahu menjayakan program-program yang dirancang agar sektor pelancongan dan ekonomi Limbang terus berkembang sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Daerah Limbang merangkap Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang Sufian Mohat, wakil Pegawai Daerah Limbang Danny David, Penolong Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang Kalawot Idop, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang Mohamad Abu Bakar, Ketua Kampung Mengatai Abu Bakar Mohamad dan Ketua Kampung Nauran Affendi Mohidin. -EDISI UKAS