Pembangunan Bola Sepak Bintulu Perlu Terus Diperkasakan
BINTULU: Pembangunan bola sepak di kawasan ini perlu terus diperkasakan secara menyeluruh menerusi kerjasama semua pihak dengan memberi penekanan kepada pembangunan bakat di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts Johnny Pang Leong Ming berkata, bola sepak bukan sekadar sukan, malah menjadi platform yang menyatukan masyarakat selain membentuk sahsiah, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda.
“Program seperti ini memberi peluang kepada peminat bertemu secara bersemuka dengan pemain profesional.
“Saya tidak mahu mereka hanya melihat pemain di televisyen, sebaliknya bertemu sendiri dengan pemain, mempelajari kemahiran mereka dan seterusnya meningkatkan minat terhadap sukan bola sepak,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Makan Malam Bersama Pemain Kuching City FC (KCFC), di sini pada Selasa.
Beliau menyifatkan jelajah KCFC ke Miri, Bintulu dan Sibu sebagai satu perkembangan positif yang mampu menyemarakkan lagi minat masyarakat terhadap sukan bola sepak.
Dalam pada itu, beliau berharap kemudahan sukan, khususnya padang dan pusat latihan bola sepak di Bintulu, terus dipertingkatkan bagi menyediakan persekitaran latihan yang lebih kondusif kepada pemain.
Beliau yakin kejayaan yang dicapai Bintulu FA dalam pelbagai pertandingan membuktikan daerah itu mempunyai asas yang kukuh untuk muncul sebagai antara pusat pembangunan bola sepak yang disegani di Sarawak.-EDISI UKAS