Teknologi Digital, Data Pacu Transformasi Pentadbiran Masa Depan Sarawak
SIBU: Sarawak akan terus memperkukuh penggunaan teknologi digital dan data sebagai tonggak utama transformasi pentadbiran negeri bagi memastikan dasar serta perancangan pembangunan dilaksanakan secara lebih cekap, mampan dan berpandukan fakta selaras dengan perubahan landskap teknologi global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, teknologi digital kini bukan lagi sekadar satu kemungkinan, sebaliknya telah menjadi realiti yang mengubah cara dunia beroperasi, mentadbir dan membuat keputusan.
Menurut beliau, perubahan tersebut mendorong Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif menerusi penganjuran Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS), yang menjadi platform menghimpunkan pakar teknologi dari seluruh dunia bagi berkongsi kepakaran serta perkembangan teknologi baharu.
“Kita membawa pakar-pakar dari seluruh dunia dalam teknologi baharu supaya kita dapat mengubah persepsi mengenai bagaimana mengurus dalam persekitaran baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, pada Rabu.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Premier Sarawak menambah, penggunaan teknologi baharu termasuk blockchain membolehkan kerajaan mengamalkan pendekatan pentadbiran yang lebih berkesan dengan menjadikan data sebagai asas utama dalam proses membuat keputusan.
Menurut beliau, data yang sahih dan tepat perlu dijadikan rujukan dalam merangka dasar serta perancangan pembangunan bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan analisis yang menyeluruh.
“Ekonomi digital bermaksud kita menggunakan teknologi untuk mendapatkan data bagi merancang dasar-dasar kita,” ujar beliau.
Tambah beliau, pendekatan berasaskan data diyakini mampu meningkatkan keupayaan kerajaan menghadapi cabaran masa hadapan, di samping memastikan pembangunan Sarawak dilaksanakan secara lebih strategik, berkesan dan berimpak tinggi.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta
Ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS