JKM Kenal Pasti Mangsa Kebakaran Lot Kedai Jalan Khoo Peng Loong
SIBU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengenal pasti penyewa dan pemilik premis yang terjejas dalam kebakaran membabitkan bangunan lot kedai tiga tingkat di Jalan Khoo Peng Loong di sini bagi membolehkan bantuan susulan disalurkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai penyewa serta pemilik premis yang terlibat.
Menurut beliau, kebanyakan premis yang terjejas merupakan premis sewaan, manakala siasatan berhubung punca kebakaran serta status perlindungan insurans akan diteruskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama agensi berkaitan.
Katanya, JKM turut mendata penghuni, penyewa dan pemilik premis bagi membolehkan bantuan susulan disalurkan, manakala penutupan jalan di kawasan berkenaan dibuat atas faktor keselamatan memandangkan struktur bangunan masih berisiko runtuh.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau lokasi kebakaran, pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata kebakaran membabitkan satu blok yang mengandungi 13 unit lot kedai berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira dua jam selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.29 tengah hari.
Beliau berkata, api dipercayai cepat merebak berikutan terdapat bahan mudah terbakar seperti minyak, tiner, plastik dan getah di dalam premis selain reka bentuk bangunan lama yang dibina sekitar tahun 1960-an.
Beliau berkata, dinding pemisah antara lot kedai yang tidak melepasi paras bumbung turut menyebabkan api dan asap merebak dengan pantas ke unit bersebelahan.-EDISI UKAS