Sarawak Manfaatkan Kekayaan Alam Semula Jadi Pacu Ekonomi Tenaga Diperbaharui
SIBU: Sarawak memanfaatkan kekayaan sumber alam semula jadinya sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi berasaskan tenaga diperbaharui dalam usaha muncul sebagai wilayah berpendapatan tinggi dan hab tenaga hijau serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peralihan kepada ekonomi berteraskan tenaga bersih merupakan langkah strategik Kerajaan Sarawak bagi mendepani cabaran perubahan iklim global, di samping mewujudkan sumber pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Menurut beliau, pengambilalihan Empangan Hidroelektrik Bakun daripada Kerajaan Persekutuan merupakan antara keputusan penting yang membolehkan Sarawak menguasai sumber tenaganya sendiri serta memperkukuh kedudukan sebagai kuasa tenaga di rantau ini.
“Itulah sebabnya saya mengambil alih Empangan Hidroelektrik Bakun apabila saya menjadi Ketua Menteri kerana kita mahu mengawal tenaga, dan Bakun menjadi milik orang Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini pada Rabu.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol selaku moderator.
Premier Sarawak menambah, selain memanfaatkan potensi tenaga hidro, Sarawak turut menggunakan keluasan hutan hujan tropikanya sebagai aset strategik untuk menjana sumber pendapatan baharu menerusi perdagangan karbon, sekali gus memastikan usaha pemuliharaan alam sekitar memberi nilai ekonomi kepada negeri.
“Jadi kita Sarawak jadi ‘carbon sink’, kita yang menyerap karbon, ‘somebody has to pay’. Maka dunia sudah ada protokol disebut sebagai ‘carbon trading’.
“Maknanya satu pendapatan baharu untuk Sarawak sambil kita mempertahankan conservation kita menggunakan rainforest,” katanya.
Dalam pada itu jelasnya, agenda pembangunan hijau itu turut disokong melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang memberi penekanan kepada bidang berasaskan teknologi bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri tenaga dan ekonomi masa hadapan.
Menurutnya, pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan bakat adalah elemen penting bagi memastikan Sarawak terus berdaya saing sebagai ekonomi yang dipacu inovasi, tenaga bersih dan teknologi.
Kira-kira 1,000 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dan sekolah menyertai sesi townhall tersebut.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri serta Ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS