Sesi Townhall Beri Peluang Pelajar, KMKK Fahami Dasar Serta Polisi Kerajaan Sarawak
SIBU: Sesi Townhall Bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena sambutan Hari Sarawak 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menjadi platform belia dan kepimpinan akar umbi menyuarakan pandangan mengenai pembangunan negeri.
Program diadakan hari ini turut memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai dasar serta inisiatif kerajaan negeri.
Pelajar Tingkatan Enam SMK Agama Sibu, Nazhan Shahmizan, 18, berkata program itu membolehkan golongan muda memahami hala tuju pendidikan Sarawak dengan lebih dekat.
“Ini kali pertama saya menghadiri Townhall dan saya bangga kerana dapat bertemu Premier untuk mendapatkan pandangan mengenai hala tuju pendidikan di Sarawak,” katanya.
Pelajar SMK Chung Hua Sibu, Charles Ricco Galang, 19, menyifatkan bantuan pendidikan kerajaan negeri mampu membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Inisiatif ini meringankan beban pelajar B40 untuk menyambung pengajian dan saya berharap ia diteruskan,” katanya.
Turut senada dengan Charles, Addelyn Moses,19, berkata, sokongan kewangan Kerajaan Sarawak memberi peluang kepada lebih ramai anak Sarawak mengubah masa depan melalui pendidikan tinggi.
Beliau menyifatkan bantuan itu sebagai langkah yang membuka ruang kepada generasi muda meningkatkan taraf hidup keluarga.
Sementara itu, wakil ketua masyarakat Kanowit, Penghulu Pree Minggat, 67, menyifatkan Townhall sebagai platform berkesan untuk rakyat mengetahui perkembangan semasa kerajaan.
“Program seperti ini wajar diteruskan kerana ia mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap usaha pembangunan kerajaan negeri,” katanya.
Pelajar Tingkatan Enam SMK Agama Sibu, Hairy Iskandar Halim, 18, berkata dasar pendidikan percuma menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangunkan modal insan.
Beliau berharap kerajaan terus memperkukuh kemudahan pembelajaran digital serta bantuan pendidikan kepada pelajar.
Tuai Rumah Sabastian Ngalang Juntan, 42, dari Batu 6.5 Jalan Oya pula berkata, pembangunan infrastruktur luar bandar memberi manfaat besar kepada penduduk.
“Kami berharap kerajaan negeri terus memajukan pendidikan, ekonomi dan pembangunan luar bandar demi kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya. - EDISI UKAS