Golongan Wanita Diseru Rebut Peluang Pembangunan & Ekonomi Digital Sarawak
BELAGA: Golongan wanita di Sarawak digalak terus meningkatkan kemahiran, memanfaatkan teknologi digital dan merebut peluang keusahawanan bagi memperkukuh penyertaan mereka dalam agenda pembangunan negeri yang semakin pesat.
Ketua Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) merangkap Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodi berkata, wanita perlu sentiasa bersedia menghadapi perubahan semasa dengan melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.
Beliau berkata, pembangunan Sarawak yang berpaksikan empat teras utama iaitu ekonomi, pendidikan, tenaga dan alam sekitar membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk menceburi bidang keusahawanan, khususnya industri kotej serta ekonomi digital.
“Kemahiran yang diperoleh melalui bengkel boleh dijadikan asas memulakan perusahaan kecil dari rumah. Dengan kemudahan digital dan kecerdasan buatan (AI), wanita kini mempunyai ruang yang lebih luas untuk mempromosikan produk dan mengembangkan perniagaan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah ‘Jom Sedia’ Wanita PRS 2026 di Dewan Lamin Adet Bangen Kimet, Uma Bakah, Sungai Asap, pada Rabu.
Beliau turut menggalakkan wanita memanfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan Kerajaan Sarawak termasuk pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri bagi melahirkan lebih ramai modal insan yang mampu menyokong pembangunan negeri.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, program seumpama itu selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperkasa wanita melalui pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan, ekonomi digital serta pembangunan kepimpinan.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi ilmu dan kemahiran baharu kepada wanita, malah membuka peluang menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan tambahan bagi meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.
Beliau berkata, wanita merupakan tonggak kekuatan keluarga dan masyarakat, justeru usaha memperkukuh kapasiti golongan itu akan terus diberi perhatian bagi memastikan mereka mampu menyumbang secara lebih berkesan kepada pembangunan negeri.
Program yang memasuki siri ketiga itu menghimpunkan kira-kira 300 peserta dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum dan DUN Belaga dengan pengisian berupa bengkel membuat jambangan bunga, anyaman pokah, pameran serta taklimat berkaitan pemerkasaan wanita.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Timbalan Ketua Pergerakan Wanita PRS Sarawak Rosline Neging dan Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap Sylvester George. -EDISI UKAS