Forum Remaja Madani Piala Pusingan TYT Sarawak Perkukuh Kemahiran Berhujah, Lahirkan Pemimpin Masa Depan
KUCHING: Pertandingan Forum Remaja Madani Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak terus menjadi platform membentuk generasi muda yang berketerampilan, berfikiran kritis serta mampu berhujah dengan berhemah.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak, Dr Azizul Ismail berkata, pertandingan yang dianjurkan sejak 1989 dan dijenamakan semula sebagai Forum Remaja Madani pada 2025 itu bertujuan memperkasa penggunaan bahasa Melayu menerusi forum, perbincangan dan penghujahan berkualiti, di samping membina keyakinan serta keterampilan pelajar.
“Di sini pentingnya ialah kita nak melahirkan bakal pemimpin khususnya di negeri Sarawak ini yang berani berhujah dan dapat menyampaikan hujah dengan baik serta penuh kesantunan berbahasa.
“Golongan muda sememangnya berkobar-kobar dalam menyampaikan pandangan, tetapi melalui forum ini kita dapat membentuk mereka supaya berani menyampaikan pendapat dengan adab dan sopan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pertandingan Forum Remaja Madani Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Sarawak 2026 di DBP Cawangan Sarawak, di sini, pada Khamis.
Dr Azizul berkata, sambutan tahun ini amat menggalakkan apabila sebanyak 50 pasukan mengambil bahagian, namun hanya lima pasukan terbaik berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Lima sekolah yang layak ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab Kuching, SMK Methodist Sibu, SMK Kubong, Limbang dan SMK Kabong.
Johan pertandingan akan mewakili Sarawak ke Pertandingan Forum Remaja Madani Peringkat Kebangsaan 2026, manakala peringkat akhir dijadual berlangsung pada 29 Julai ini di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak dan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.-EDISI UKAS