Bintulu Perlukan Lebih Ramai Bakat STEM Seiring Pertumbuhan Industri
BINTULU: Bintulu memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menyokong pertumbuhan pesat sektor tenaga hijau, minyak dan gas, teknologi hidrogen serta pembuatan termaju.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts Johnny Pang Leong Ming berkata, perkembangan industri di kawasan itu membuka peluang luas kepada generasi muda untuk menceburi kerjaya sebagai jurutera, saintis, profesional teknologi maklumat dan inovator pada masa hadapan.
Menurutnya, STEM bukan sekadar mempelajari sains dan matematik, sebaliknya membentuk sikap ingin tahu, pemikiran kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah serta keupayaan mengubah idea menjadi realiti.
“Gunakan peluang dalam program ini sebaik mungkin. Jadilah pelajar yang sentiasa ingin tahu, berani bertanya soalan, mencuba perkara baharu dan tidak takut melakukan kesilapan.
“Setiap ciptaan hebat bermula dengan individu yang sanggup belajar, meneroka dan terus berusaha,” katanya ketika berucap merasmikan IMechE STEM Outreach 6.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu di sini, pada Khamis.
Tambahnya, usaha berterusan Curtin University Malaysia IMechE Student Chapter menganjurkan program itu buat kali keenam wajar dipuji kerana berjaya menyemai minat pelajar terhadap bidang STEM sejak di bangku sekolah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak SMK Bandar Bintulu, guru-guru, sukarelawan dan penaja yang menjayakan program berkenaan, sambil berharap peserta memperoleh pengalaman pembelajaran yang mampu mencetuskan minat terhadap bidang STEM.-EDISI UKAS