Transformasi Penanaman Padi Komersial, Perkukuh Sekuriti Makanan Negeri
LIMBANG: Usaha mentransformasikan kaedah penanaman padi daripada amalan tradisional sara diri kepada model komersial berskala besar berasaskan teknologi moden mampu meningkatkan hasil pengeluaran, mengoptimumkan penggunaan tanah serta memperkukuh sekuriti makanan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, inisiatif tersebut merupakan antara usaha strategik Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian untuk membangunkan sektor penanaman padi secara lebih moden dan sistematik, sekali gus mewujudkan manfaat ekonomi kepada para pemilik tanah yang terlibat.
“Kerajaan melalui Jabatan Pertanian sentiasa komited untuk membangunkan sektor penanaman padi secara lebih moden dan sistematik. Peralihan daripada kaedah penanaman tradisional kepada model komersial bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pengeluaran, malah membuka peluang kepada para pemilik tanah untuk memperoleh manfaat ekonomi daripada pembangunan yang dilaksanakan,” katanya semasa berucap pada Sesi Libat Urus dan Dialog Pembangunan Tanaman Padi Sawah/Paya bersama penduduk Kampung Terimah di sini, pada Khamis.
Jelasnya, pendekatan tersebut bertujuan mengoptimumkan potensi kawasan yang dikenal pasti sesuai untuk penanaman padi secara komersial, di samping memastikan pembangunan tanah dapat dilaksanakan secara lebih terancang, berdaya maju dan memberi manfaat kepada para pemilik tanah serta komuniti setempat.
Menurut beliau, penganjuran sesi libat urus tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam mendapatkan pandangan, menjawab keraguan serta menerima maklum balas secara langsung daripada para pemilik tanah sebelum sebarang pelaksanaan projek dimulakan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap cadangan pembangunan dilaksanakan secara telus, inklusif dan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri bergantung kepada keterbukaan, kesediaan dan kerjasama para pemilik tanah untuk bersama-sama menjayakan inisiatif yang dirancang oleh kerajaan.
Tambah beliau, sesi libat urus tersebut menjadi platform penting dalam membina kefahaman serta keyakinan masyarakat terhadap pelaksanaan projek, di samping memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh penduduk setempat.
Hadir sama wakil Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat dan Pegawai Pertanian (Padi dan Bijian), Jeremy Kuyah Liang.-EDISI UKAS