BIKF Pacu Pelancongan, Perkasa Ekonomi Tempatan Bintulu
BIKF Pacu Pelancongan, Perkasa Ekonomi Tempatan Bintulu
BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi Bintulu menerusi penyertaan pemain layang-layang dari seluruh dunia serta penglibatan usahawan tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts Johnny Pang Leong Ming berkata, penganjuran festival bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja mengangkat nama Bintulu di persada dunia, malah memberi limpahan manfaat kepada industri pelancongan, perniagaan tempatan dan komuniti.
“BIKF bukan sekadar sebuah festival. Ia merancakkan sektor pelancongan, menyokong perniagaan tempatan dan membuka peluang ekonomi kepada masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan BIKF 2026 di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, pada Khamis.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Mohd Ansari Mohd Syed Ahmad berkata, festival edisi ke-19 itu menghimpunkan 154 pemain layang-layang dari 19 negara serta penyertaan peserta dari 10 negeri di Malaysia, sekali gus membuktikan BIKF terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan itu dicapai meskipun penganjuran tahun ini berdepan cabaran seperti tekanan ekonomi global, kenaikan kos penerbangan dan perubahan jadual perjalanan, hasil komitmen padu penganjur serta peserta untuk memastikan BIKF kekal sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan.
"BIKF bukan sekadar festival, tetapi merupakan pemangkin kepada kemakmuran ekonomi Bintulu.
“Pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan layang-layang gergasi, pertunjukan layang-layang bercahaya (LED), Perarakan BIKF serta Ekspo Perdagangan yang menghimpunkan 160 usahawan tempatan dijangka merancakkan sektor pelancongan dan perniagaan tempatan,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah ADUN Jepak, Iskandar Turkee, Setiausaha Tetap Kementerian, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Morshidi Fredrick, Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari serta Timbalan Pengurus Besar BDA, Abdul Rahim Abdullah.-EDISI UKAS