Sarawak Sasar Jadi Hab Ekonomi Hijau, Penyumbang Utama Pertumbuhan Malaysia
SIBU: Sarawak bertekad muncul sebagai peneraju ekonomi hijau, tenaga bersih dan industri bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, strategi pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan sahaja penting kepada kemajuan Sarawak, malah akan membantu meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.
Menurut beliau, Sarawak memilih untuk menjadi peneraju dalam bidang teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, tenaga bersih dan industri bernilai tinggi, selaras dengan aspirasi membina ekonomi masa depan yang mampan.
“Aspirasi kita ialah membina Sarawak yang menjadi pintu masuk Malaysia kepada ekonomi hijau. Kita mahu Sarawak menjadi hab tenaga bersih.
“Kita mahu Sarawak menjadi pusat industri bernilai tinggi. Dan kita mahu Sarawak menjadi penyumbang utama kepada kekuatan ekonomi Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini, pada Rabu.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Premier Sarawak menambah, Malaysia akan menjadi lebih kukuh apabila setiap wilayah berkembang mengikut kekuatan masing-masing, sekali gus mencerminkan semangat federalisme yang sebenar.
“Inilah semangat federalisme yang sebenar. Bukan bersaing sesama sendiri dan bukan pembangunan yang berpusat di satu tempat atau wilayah sahaja.
“Tetapi saling memperkukuh kekuatan negara dengan kekuatan yang ada di wilayah masing-masing demi kemakmuran negara yang keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut mengulangi aspirasi menjadikan Sarawak sebagai “Bavaria Malaysia”, iaitu sebuah wilayah maju yang memiliki ekonomi mampan, modal insan berkemahiran tinggi serta institusi awam dan swasta yang kukuh.
Menurut beliau, pandangan Profesor Joseph Stiglitz, ahli ekonomi bertaraf dunia dan penerima Hadiah Nobel yang menyifatkan Sarawak berpotensi menjadi antara ekonomi masa depan paling penting di Asia Tenggara, mengukuhkan keyakinan bahawa hala tuju pembangunan negeri berada di landasan yang tepat.
Bagaimanapun katanya, kejayaan tersebut hanya dapat dicapai sekiranya Sarawak terus membangunkan model ekonominya sendiri berasaskan kekuatan, sumber dan kelebihan yang dimiliki negeri ini.-EDISI UKAS