Sibu Bakal Nikmati Perkhidmatan Bas Baharu, Perkukuh Mobiliti Pengangkutan Awam
SIBU: Sibu bakal menikmati perkhidmatan bas baharu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperkukuh sistem pengangkutan awam, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan dan mobiliti rakyat di bandar ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata inisiatif tersebut merupakan kesinambungan komitmen kerajaan negeri dalam mentransformasikan pengangkutan awam selepas pelaksanaan Smart Bus di Miri serta pembangunan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (Kuching Urban Transportation System, KUTS).
“Sebagai Menteri Pengangkutan Sarawak, saya ingin memaklumkan bahawa bas-bas baharu akan diperkenalkan di Sibu sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak memperkasakan sistem pengangkutan awam di bandar-bandar utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perhimpunan Hari Sarawak sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini pada Rabu.
Dato Sri Lee menambah, pelaksanaan perkhidmatan bas baharu itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih moden, cekap dan mampan, sekali gus menyokong pembangunan bandar yang lebih lestari.
Beliau menjelaskan, usaha tersebut juga melengkapi pelbagai inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasakan rangkaian pengangkutan awam dan meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi sistem mobiliti yang lebih efisien.-EDISI UKAS