Hab Hidrogen ART Fasa Pertama Siap Hujung Tahun Ini
SIBU: Sarawak bakal mencapai satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan ekonomi hidrogen apabila Fasa Pertama Hab Hidrogen bagi sistem Autonomous Rapid Transit (ART) dijadualkan siap menjelang penghujung tahun ini, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai peneraju teknologi hidrogen dan tenaga hijau negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata pembangunan hab berkenaan menandakan kemajuan besar dalam usaha Sarawak menterjemahkan teknologi hidrogen daripada peringkat penyelidikan dan projek perintis kepada pelaksanaan sebenar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, projek itu turut membuktikan bahawa teknologi hijau kini diaplikasikan secara praktikal dalam sistem pengangkutan awam moden, selaras dengan agenda peralihan tenaga dan pembangunan rendah karbon.
“Menjelang penghujung tahun ini, Fasa Pertama pembangunan Hab Hidrogen bagi sistem Autonomous Rapid Transit (ART) dijadualkan siap.
“Projek ini membuktikan bahawa teknologi hidrogen bukan lagi sekadar konsep masa depan, tetapi sedang menjadi realiti di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini, pada Rabu.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Premier Sarawak menambah, pengalaman yang dibangunkan Sarawak dalam ekonomi hidrogen diyakini mampu menjadi rujukan kepada Malaysia dalam memperluaskan penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pembangunan tenaga hidro, hidrogen dan industri rendah karbon di Sarawak bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat negeri ini, malah membantu Malaysia memenuhi komitmen antarabangsa dalam mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu serta memperkukuh keterjaminan tenaga negara.
Menurut beliau, pembangunan Sarawak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan ekonomi Malaysia memandangkan peranan negeri ini sebagai hab tenaga hijau mampu menarik lebih banyak pelaburan, merangsang pertumbuhan industri baharu dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
“Apabila Sarawak menjadi hab tenaga hijau, Malaysia akan mempunyai asas tenaga yang lebih kukuh untuk menarik pelaburan, membangunkan industri baharu dan bersaing di peringkat global,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, pembangunan tenaga hijau yang diterajui Sarawak bukan sahaja meningkatkan nilai ekonomi negeri, malah menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk membina ekonomi rendah karbon serta sistem tenaga yang lebih mampan.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2026 Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS