Konsert Rakyat Sempena Hari Sarawak 2026 Meriah Dengan Sorakan Penonton
SIBU: Dataran Tun Tuanku Bujang malam tadi bergema dengan kehangatan Konsert Rakyat sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 yang menyaksikan kehadiran ribuan penonton merentas pelbagai lapisan masyarakat.
Konsert yang bermula tepat jam 11.00 malam itu menyajikan tirai persembahan yang cukup bertenaga dan berwarna-warni, menampilkan barisan artis tempatan serta bakat kelahiran Sarawak yang memukau hadirin menerusi kepelbagaian genre muzik dan bahasa.
Persembahan tirai pembuka diserikan oleh Ricky Andrewson yang mendendangkan lagu popularnya, Berkikis Bulu Betis.
Suasana terus hangat dengan kemunculan Claudia Geres yang membawakan lagu Berdua Lebih Baik dan hits antarabangsa Baby One More Time.
Kemeriahan malam concert diteruskan dengan persembahan bertenaga daripada Firdaus Matareng menerusi lagu Kelentang Kelentong dan Risk It All, disusuli Ericson yang menghiburkan peminat menerusi lagu Yank serta Jangan Paksa Rindu.
Turut mencuri perhatian ialah persembahan Kelly Ho yang membawakan lagu Mandarin popular Shuo Ai Ni serta lagu tema Piala Dunia Waka Waka, membuktikan kepelbagaian budaya dan keharmonian seni yang diangkat pada malam berkenaan.
Suasana gamat berterusan apabila Mawat naik ke pentas dan menyampaikan deretan lagu variasi antaranya Kembali Merindu, Tungkat Semengat, Kicau Maniac, dan Dayang Bintang.
Penyanyi terkemuka tanah air yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia, Dewi Liana Seriestha, turut memukau ribuan hadirin menerusi persembahan vokal mantap membawakan lagu Andai Saja dan Dia.
Kemuncak persembahan malam itu menampilkan penyanyi tersohor anak jati Sarawak, Hafiz Suip, yang mendendangkan lagu-lagu hits beliau iaitu Bahagiamu Deritaku, Kisah Cinta Kita dan Noktah Cinta yang melengkapkan sambutan gilang-gemalang Hari Sarawak 2026 dengan sorakan gemuruh penonton. - EDISI UKAS