BIHAS 2026 Perkukuh Ekosistem Industri Halal, Iktiraf Kecemerlangan Global
KUCHING: Malam Gala Penutup Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 dan World Halal Excellence Awards 2025 Borneo bukan sekadar penutup acara, malah menjadi simbol kejayaan kerjasama pelbagai pihak dalam memperkukuh ekosistem industri halal di peringkat global.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata BIHAS berjaya menghimpunkan pemimpin kerajaan, industri, akademia serta komuniti perniagaan dari dalam dan luar negara untuk berkongsi idea, meneroka peluang serta membina jaringan strategik.
Menurut beliau, penganjuran selama dua hari itu telah membuka ruang kerjasama yang akan terus memberi impak jangka panjang kepada pembangunan industri halal.
“Melalui World Halal Excellence Awards 2025 Borneo, kita mengiktiraf individu dan organisasi yang menunjukkan kecemerlangan, inovasi serta kepimpinan dalam memajukan industri halal,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, sambutan BIHAS tahun ini lebih bermakna kerana berlangsung bersempena Hari Sarawak yang memperingati pemulihan pemerintahan sendiri pada tahun 1963.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa industri halal kini berkembang pesat dan tidak lagi tertumpu kepada sektor makanan semata-mata, sebaliknya merangkumi farmaseutikal, kosmetik, logistik, kewangan, pelancongan dan teknologi digital.
Dalam perkembangan sama, pelancaran Pelan Pembangunan Industri Halal Sarawak 2026–2030 disifatkan sebagai langkah penting dalam membangunkan ekosistem halal yang berdaya saing, inovatif dan berhubung dengan pasaran antarabangsa.
Sarawak, katanya, mempunyai kelebihan tersendiri termasuk kestabilan politik, sumber semula jadi yang melimpah, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur moden serta persekitaran mesra perniagaan untuk muncul sebagai destinasi utama halal di ASEAN.
Majlis turut menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijangka memperkukuh kerjasama strategik, memperluas akses pasaran serta membuka peluang pelaburan baharu.
Selain itu, pelancaran Persatuan Halalpreneur Sarawak turut menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa usahawan tempatan agar mampu berkembang ke peringkat serantau dan global.-EDISI UKAS