Program Outreach UKAS Perkasa Komuniti Luar Bandar
PANTU: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh usaha penyampaian maklumat kerajaan kepada masyarakat di kawasan luar bandar menerusi penganjuran Program Outreach UKAS 2026: Memperkasakan Komuniti Perbatasan di Rumah William, Punggu Tinting, Pada Jumaat.
Program selama dua hari yang berlangsung pada 24 dan 25 Julai itu disasarkan melibatkan kira-kira 300 peserta dengan memberi penekanan kepada penyampaian maklumat semasa berkaitan dasar, inisiatif dan agenda pembangunan Kerajaan Sarawak, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keselamatan dan cabaran geopolitik semasa.
Difahamkan, penganjuran program tersebut mengambil kira perkembangan persekitaran geopolitik yang berlaku di sekitar Wilayah Sarawak, sekali gus menjadikan komuniti perbatasan sebagai antara kumpulan sasaran penting dalam penyampaian maklumat yang sahih dan tepat.
Di samping itu, ianya bertujuan untuk memperkasakan komuniti setempat dengan pengetahuan mengenai dasar kerajaan serta fungsi pelbagai agensi yang bertanggungjawab dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan dan ketenteraman awam.
Bagi mencapai objektif tersebut, sebanyak 10 agensi kerajaan mengambil bahagian dengan membuka kaunter pameran dan menyampaikan ceramah berkaitan bidang tugas masing-masing.
Program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian interaktif termasuk demonstrasi memadam kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Pertandingan Lagu Patriotik bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.
Majlis perasmian program dijadual disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, pada Sabtu. -EDISI UKAS