Tapak Baharu Dikenal Pasti, Percepat Pembinaan Semula Klinik Kesihatan Biawak
LUNDU: Usaha mempercepatkan pembinaan semula Klinik Kesihatan Biawak memasuki fasa baharu apabila satu tapak alternatif di Kampung Jantan dikenal pasti bagi menggantikan lokasi asal yang didapati tidak lagi ekonomik untuk dibangunkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, penilaian semula itu dibuat selepas anggaran kos pembinaan di tapak asal di Kampung Tanjam/Opek meningkat kepada kira-kira RM54 juta berbanding peruntukan asal projek sebanyak RM15 juta.
Menurut beliau, lokasi baharu tersebut bukan sahaja lebih menjimatkan kos pembinaan, malah mempunyai kedudukan yang lebih strategik bagi memastikan penduduk Biawak dan kawasan sekitarnya menikmati akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai lawatan tapak Projek Pembinaan Semula Klinik Kesihatan Biawak di sini pada Khamis.
Cadangan pembinaan semula itu melibatkan pembangunan Klinik Kesihatan Jenis 4 yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk Unit Kecemasan, Klinik Ibu dan Anak, Klinik Pergigian, Unit Radiologi serta kuarters kakitangan kesihatan.
Billy berkata, penyediaan kemudahan kesihatan yang moden dan komprehensif merupakan antara keutamaan kerajaan bagi memastikan masyarakat luar bandar menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selesa dan cekap.
Beliau berharap proses penilaian tapak serta perancangan projek dapat diselesaikan segera supaya pembinaan semula Klinik Kesihatan Biawak dapat direalisasikan dalam masa terdekat, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan awam di kawasan DUN Opar.-EDISI UKAS