Kemudahan Asas, Ketersambungan Digital Luar Bandar Terus Diperkasa Di Hulu Rajang
BUKIT MABONG: Usaha memperkasa kemudahan asas dan ketersambungan digital di kawasan luar bandar Hulu Rajang terus diberi perhatian bagi memastikan masyarakat setempat menikmati pembangunan yang lebih menyeluruh.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, komitmen itu termasuk menyediakan liputan internet yang lebih stabil dan pantas khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
“Beberapa keperluan pembangunan lain turut diberi perhatian termasuk penggantian bateri solar yang rosak, pembangunan teknologi hidrogen, penaiktarafan Jalan Jiwa Murni serta pembinaan dan penaiktarafan tiang elektrik di rumah panjang yang menggunakan sistem tenaga solar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Nigiling Bidai di Rumah Linggi, Oyan Mujong di sini pada Khamis.
Selain itu, Datuk Wilson memaklumkan, isu berkaitan pelaksanaan Diesel Madani akan dibawa kepada perhatian Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi memudahkan rakyat Sarawak mendapat manfaat daripada kemudahan berkenaan.
Pada program sama, beliau mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Linggi bagi kerja baik pulih jalan, pembinaan longkang serta penambahbaikan infrastruktur asas.
Beliau turut menyampaikan cek berjumlah RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Linggi.
Sementara itu, sesi dialog bersama penduduk memberi ruang kepada masyarakat setempat menyuarakan beberapa keperluan termasuk pembinaan longkang bagi mengatasi masalah air bertakung di hadapan rumah panjang, penyediaan bekalan air serta penambahbaikan kemudahan rumah panjang.
Program anjuran Pejabat Timbalan Menteri Digital itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat selain membolehkan isu serta keperluan setempat disampaikan secara langsung.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bukit Mabong, Jabang Juntan.-EDISI UKAS