Sarawak Perkukuh Pelancongan Perubatan Melalui Kepakaran Penjagaan Kesihatan
MIRI: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan perubatan serantau menerusi peningkatan standard perkhidmatan kesihatan, pembangunan kepakaran klinikal dan pengukuhan kerjasama profesional dalam bidang penjagaan luka serta stoma.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, komitmen terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan pesakit, malah menyokong pertumbuhan sektor pelancongan perubatan di Sarawak.
Menurut beliau, berdasarkan data ‘Malaysia Healthcare Travel Council’ (MHTC), Sarawak menerima lebih 104,000 pelancong perubatan pada 2025, meningkat 26.16 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan Indonesia kekal sebagai pasaran utama.
“Pertumbuhan ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap profesional kesihatan, kemudahan perubatan dan ekosistem penjagaan kesihatan di Sarawak,” katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Penjagaan Luka dan Stoma di Imperial Palace Hotel, di sini, pada Jumaat.
Datuk Sebastian berkata, Miri mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab penjagaan kesihatan bagi utara Sarawak dan rantau sekitarnya berikutan kedudukannya yang strategik berhampiran Brunei Darussalam, selain disokong oleh kepakaran perubatan yang semakin berkembang dan kemudahan kesihatan yang kukuh.
Katanya, Tourism Malaysia dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) turut mengenal pasti pelancongan perubatan sebagai antara segmen berpotensi di Miri, khususnya dalam menarik pesakit dari Brunei Darussalam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan sektor pelancongan perubatan tidak harus dinilai berdasarkan jumlah pesakit atau pulangan ekonomi semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kualiti, keselamatan dan belas ihsan dalam penyampaian rawatan.
“Teknologi hanya berkesan apabila digabungkan dengan pertimbangan klinikal, pengalaman profesional dan sentuhan kemanusiaan. Penjagaan luka dan stoma bukan sekadar merawat keadaan fizikal pesakit, tetapi mengembalikan keyakinan, maruah dan kualiti hidup mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, simposium seperti itu menjadi platform penting untuk memperkukuh perkongsian ilmu, meningkatkan kompetensi profesional kesihatan serta menggalakkan kolaborasi dalam kalangan pengamal perubatan, sekali gus mempertingkat standard penjagaan luka dan stoma di Sarawak.
Simposium anjuran Hospital Miri selama dua hari itu menghimpunkan lebih 150 doktor, jururawat, pakar terapi, penyelidik dan pengamal kesihatan dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Filipina bagi membincangkan perkembangan terkini dalam rawatan luka kronik, penjagaan stoma serta inovasi klinikal.
Selain sesi pembentangan ilmiah, peserta turut mengikuti latihan amali menerusi lapan stesen kemahiran yang memfokuskan kepada teknik penjagaan luka, penilaian vaskular, penggunaan pembalut moden, pengurusan stoma dan pengendalian fistula bagi memperkukuh amalan klinikal berasaskan bukti.
Turut hadir Timbalan Pengarah Hospital Miri, Dr. Francis Heng Eng Khai, Ketua Jabatan Rehabilitasi Hospital Miri, Dr. Tew Siew Peng, Pakar Perunding Kolorektal Hospital Miri, Kenneth Voon, Pengerusi Northern Sarawak Wound and Stoma Care Symposium and Workshop 2026, Dr. Nadiya Hamzah, Ketua Penyelia Jururawat Hospital Miri, Rose Mary Jok, serta wakil Ketua Penolong Pegawai Perubatan Hospital Miri, Kennedy Edwin Ganai.-EDISI UKAS