Teknologi Baharu Jadikan Pertanian Pilihan Kerjaya Generasi Muda
SERIAN: Teknologi baharu dalam sektor pertanian menjadikan ianya antara pilihan kerjaya generasi muda hari ini bagi mewujudkan industri agro yang lebih berdaya saing serta menguntungkan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, persepsi bahawa pertanian merupakan sektor yang kotor, sukar dan berpendapatan rendah perlu diubah kerana industri itu kini berkembang sebagai sektor moden yang didorong penggunaan teknologi seperti ‘Internet of Things’ (IoT), pertanian pintar, fertigasi, rumah hijau dan amalan pertanian terbaik.
“Pertanian tidak lagi boleh dilihat sebagai sektor yang kotor, sukar dan berpendapatan rendah. Masa depan sektor ini bergantung kepada penggunaan teknologi moden yang mampu meningkatkan produktiviti serta menjana pulangan lebih tinggi,” katanya ketika merasmikan Serian Agrofest 2026 di Serian Conference Centre (SCC) pada Jumaat.
Beliau menambah, usaha menarik penyertaan belia penting bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga kerja mahir yang mampu memacu transformasi sektor pertanian ke arah industri yang lebih moden dan mampan, selaras aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurutnya, kerajaan turut menyasarkan Sarawak muncul sebagai ‘Net Food Exporter’ menjelang 2030, sekali gus memperkukuh sekuriti makanan negeri dan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat, khususnya di luar bandar.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa peningkatan pendapatan petani tidak boleh bergantung kepada pengeluaran hasil semata-mata, sebaliknya perlu disokong melalui pembangunan industri hiliran, aktiviti pemprosesan serta rantaian bekalan yang lebih tersusun bagi mewujudkan nilai tambah kepada produk pertanian.
Dalam pada itu, beliau menggesa Jabatan Pertanian Sarawak memperkukuh pendekatan pelaksanaan program dengan memberi tumpuan kepada keperluan sebenar petani berdasarkan kesesuaian kawasan, jenis perusahaan dan permintaan pasaran.
Beliau berkata, penggunaan sistem e-Tani akan membantu memastikan bantuan input pertanian disalurkan secara lebih bersasar kepada pengusaha yang benar-benar layak, sekali gus mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan.
Pada masa sama, beliau turut menyeru Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh pemasaran hasil, mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan menggalakkan pelaksanaan pertanian secara berkelompok.
Beliau juga mencadangkan agar lebih ramai ikon usahawan tani berjaya diwujudkan di setiap bahagian sebagai contoh kepada generasi muda bahawa sektor pertanian mampu menjadi sumber pendapatan lumayan melalui pendekatan komersial dan penggunaan teknologi.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, ADUN Serembu Datuk Miro Simuh, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, Setiausaha Tetap M-FICORD Datu Sirai Daha, Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat dan Residen Bahagian Serian Mackos Sibong. -EDISI UKAS