Kerjasama Rakyat-Pemimpin Kunci Kejayaan Agenda Pembangunan Kawasan
LAWAS: Kejayaan agenda pembangunan di sesuatu kawasan bergantung kepada kerjasama erat antara rakyat dan pemimpin, dengan sokongan padu masyarakat menjadi pemangkin utama dalam memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan bersama.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, pembangunan sesebuah kawasan tidak dapat dicapai hanya melalui usaha pemimpin semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen serta kepercayaan rakyat untuk bersama-sama menjayakan setiap inisiatif yang dirancang.
Menurut beliau, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, khususnya golongan belia yang merupakan pewaris masa depan, agar pembangunan yang dirancang dapat memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Anak-anak muda perlu memberi kerjasama dengan pemimpin-pemimpin kita di Lawas supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan baik. Jangan apabila ada pembangunan kita bantah atau tidak setuju, sedangkan perkara itu sebenarnya akan mendatangkan kebaikan kepada kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelepasan peserta Lawas Fun Run 722 sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Lawas di Arena Gelanggang Lawas, pada Rabu.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat perlu terus dipupuk kerana ia menjadi asas kepada kestabilan serta kelancaran pelaksanaan projek pembangunan di kawasan tersebut.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengerusi SUPP Cawangan Lawas Liaw Ho Peng serta Ketua Pemuda PBB Cawangan Ba’ Kelalan Steve Lius. -EDISI UKAS