Industri Minyak & Gas Daratan Sarawak Catat Sejarah Baharu Melalui Pengeluaran Minyak Pertama AKW
MIRI: Industri minyak dan gas daratan Sarawak kembali mencatat sejarah apabila Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan PETRA Energy Berhad (PETRA) berjaya mencapai pengeluaran minyak pertama (First Oil) daripada Adong Kechil West (AKW) Early Production System (EPS) di Blok SK433, sekali gus menghidupkan semula sektor petroleum daratan negeri selepas hampir lima dekad.
Kejayaan tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha diterajui Sarawak untuk membangunkan semula sumber petroleum daratan negeri susulan kejayaan penggerudian telaga penilaian dan pembangunan medan AKW pada 2023 serta mengatasi cabaran teknikal pembangunan takungan petroleum.
Melalui pendekatan pembangunan secara berfasa, sistem pengeluaran awal itu membolehkan pengeluaran minyak dimulakan lebih awal, selain menyediakan data operasi dan takungan yang penting bagi menyokong pembangunan bersepadu kawasan sekitar AKW, memaksimumkan potensi sumber petroleum serta menjamin bekalan gas jangka panjang.
Medan AKW dijangka menghasilkan sehingga 800 tong minyak sehari.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak PETROS, Dato Abang Arabi Abang Narudin berkata, kejayaan tersebut membuktikan kekuatan kerjasama strategik dalam membangunkan sumber hidrokarbon Sarawak secara bertanggungjawab.
“Kita bukan sekadar meraikan kejayaan projek ini, tetapi juga kekuatan kerjasama yang menjayakannya. PETROS kekal komited memastikan penerokaan dan pembangunan sumber hidrokarbon negeri dilaksanakan secara bertanggungjawab melalui kerjasama strategik dan kecemerlangan operasi bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada Sarawak dan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata, fasa seterusnya pembangunan AKW akan memberi tumpuan kepada pembinaan kemudahan pengeluaran dan infrastruktur penting bagi menyokong bekalan gas kepada projek Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri yang disasarkan beroperasi menjelang penghujung 2027.
Menurutnya, pembangunan sumber petroleum daratan melalui AKW akan memperkukuh daya tahan bekalan tenaga bagi memenuhi keperluan masa depan Miri, di samping mengukuhkan sekuriti tenaga jangka panjang Sarawak.
Kejayaan pengeluaran minyak pertama itu turut mengesahkan potensi besar sumber hidrokarbon daratan Sarawak, dengan PETROS menegaskan komitmennya untuk terus meneroka dan membangunkan sumber tersebut secara bertanggungjawab demi memperkukuh daya tahan tenaga negeri serta memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.— EDISI UKAS