Kerjasama Strategik Antara Agensi Perkukuh Pelaksanaan Program GEMA Sarawak 2026
KOTA SAMARAHAN: Kerjasama strategik antara jabatan dan agensi berkaitan menjadi faktor penting dalam memastikan pelaksanaan Program GEMA Peringkat Negeri Sarawak 2026 berjalan lancar serta mencapai objektif yang disasarkan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, penyelarasan yang berkesan dan komitmen semua pihak perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap pengisian program dapat dilaksanakan secara sistematik serta memberi manfaat optimum kepada masyarakat.
“Kerjasama erat semua pihak amat penting bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan dengan berkesan dan mencapai objektif yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Program GEMA Peringkat Negeri Sarawak Bil. 2/2026 di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Samarahan, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut menjadi platform penting untuk menyelaras pelaksanaan program, selain membincangkan pelbagai cadangan pengisian yang mampu memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat serta memperkukuh agenda pembangunan komuniti.
Program GEMA Peringkat Negeri Sarawak 2026 dijangka menghimpunkan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat hasil penglibatan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.
Antara agensi yang menyertai mesyuarat tersebut ialah Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Samarahan, Pejabat Daerah Asajaya, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan GIATMARA.
Turut hadir semasa mesyuarat tersebut ialah Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin dan Penolong Pegawai Daerah Samarahan Hayati Sahari. -EDISI UKAS