Sub-Stesen 132kV Sungai Merah Perkukuh Bekalan Elektrik Sibu, Kawasan Pesisir
SIBU: Sub-Stesen 132 kV Sungai Merah yang siap dibina pada Julai 2025 kini memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan menstabilkan bekalan elektrik di Sibu, selain meningkatkan keupayaan sistem bagi memenuhi permintaan tenaga pada masa hadapan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sub-stesen milik Sarawak Energy Berhad (SEB) yang dibina dengan kos RM149 juta itu mula beroperasi pada Julai tahun lalu dan kini membekalkan suntikan tambahan bekalan elektrik kepada Sibu.
Menurut beliau, kemudahan itu mengurangkan kebergantungan kepada Sub-Stesen 275kV Oya sebagai satu-satunya sumber utama bekalan elektrik ke kawasan berkenaan, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan serta kestabilan sistem bekalan.
“Sub-stesen ini memberi suntikan bekalan elektrik tambahan kepada Sibu, tidak hanya bergantung kepada sub-station 275 KV di Oya sahaja menjadikan bekalan elektrik di Sibu dapat diperkukuhkan dan lebih stabil. Malah ia berupaya memenuhi permintaan tambahan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Sub-Stesen 132kV Sungai Merah pada Jumaat.
Dato Sri Julaihi berkata, sub-stesen itu menerima bekalan daripada talian penghantaran Kemantan 275kV untuk menjana 132kV untuk disalurkan ke rangkaian bekalan di Sungai Merah.
“Transformer di Sungai Merah berkapasiti 80 MVA di mana terdapat dua unit transformer yang beroperasi serentak tetapi tidak melebihi 40 MVA setiap satu transformer, maknanya setiap satu transformer hanya boleh beroperasi tidak melebihi 40 MVA,” jelasnya.
Ujar beliau lagi, talian penghantaran di Sungai Merah merupakan sebahagian daripada ‘Coastal Grid’, yang bukan sahaja membekalkan elektrik ke Sibu, malah turut menyalurkan bekalan ke Tanjung Manis dan Daro.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SESCO merangkap Naib Presiden Kanan Sarawak Energy Yusri Safri, Naib Presiden Bahagian Penghantaran Sarawak Energy, Raphael Chung, Pengarah Elektrik Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Mohd Randie Abdullah serta jurutera dan pegawai kanan MUT dan Sarawak Energy.-EDISI UKAS