Loji Air Nibong Tada Beroperasi Baik, Bekal Air Bersih Kepada 847 Isi Rumah
SIBU: Loji Rawatan Air Nibong Tada berkapasiti lima juta liter sehari (5 MLD) kini beroperasi dengan baik dan membekalkan bekalan air bersih kepada 847 isi rumah di kawasan rumah panjang sekitar Nibong Tada.
Perkara itu disahkan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi selepas mengadakan lawatan susulan ke loji berkenaan pada Khamis bagi meninjau prestasi operasinya.
Menurut beliau, loji rawatan air yang menggunakan teknologi ‘Acute System’ itu berfungsi dengan baik, sekali gus memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan secara berterusan kepada penduduk setempat.
“Muka sauk loji yang memperoleh sumber air mentah dari Sungai Rajang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi loji, dengan bekalan air mentah didapati mencukupi, stabil dan boleh dipercayai,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke loji berkenaan, pada Khamis.
Semasa lawatan tersebut, beliau bersama rombongan turut meninjau proses rawatan air di loji berkenaan, termasuk melihat sendiri perbezaan antara air mentah dan air terawat yang dihasilkan.
Menurutnya, air terawat yang dibekalkan memenuhi standard kualiti air minuman yang ditetapkan.
Dato Sri Julaihi berkata, usaha menyediakan bekalan air terawat kepada penduduk luar bandar akan terus diperkasakan menerusi pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti besar, menaik taraf loji sedia ada bagi meningkatkan kapasiti serta pembinaan loji rawatan air berskala kecil menggunakan teknologi Acute System, seperti yang dilaksanakan di Nibong Tada dan beberapa lokasi lain di Sarawak.
Katanya, ketika ini terdapat 23 loji rawatan air kecil yang menggunakan teknologi Acute System di seluruh Sarawak, selain sistem Sarawak Alternative Water Supply System (SAWAS) yang turut membantu menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan luar bandar.
Hadir sama semasa lawatan berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Datu Jafri Lias, Pemangku Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Tamida Daadi, jurutera, pegawai kanan MUT dan JBALB serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) tempatan.-EDISI UKAS