Kemajuan Digital Pemangkin Pembangunan Komuniti Luar Bandar
KAPIT: Kemajuan digital perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin pembangunan komuniti luar bandar melalui penggunaan teknologi secara bertanggungjawab serta dipacu oleh kepimpinan yang berkualiti.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, usaha memperkukuh literasi digital dan pembangunan infrastruktur perlu bergerak seiring bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan menikmati manfaat ekonomi digital.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ujan Empawi, Lepong Sungai Mujong A, Baleh, Bukit Mabong, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Wilson turut berkongsi pelbagai pencapaian kerajaan dalam memacu pembangunan negeri, khususnya melalui pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.
Pada majlis berkenaan, beliau mengumumkan peruntukan RM8,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ujan serta RM5,000 kepada Biro Wanita bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan keperluan komuniti.
Turut hadir Pegawai Daerah Bukit Mabong Jabang Juntan, Pengerusi Majlis Daerah Kapit Andy Lawrence serta Tuai Rumah Ujan Empawi.-EDISI UKAS