Naik Taraf Jalan Kampung Bra’ang Payang Bermula Ogos Ini
PADAWAN: Penduduk Kampung Bra’ang Payang bakal menikmati kemudahan jalan yang lebih selesa dan selamat menerusi pelaksanaan Projek Menaiktaraf Jalan Kampung dan Lorong Kampung Bra’ang Payang di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025, yang dijadualkan bermula pada 1 Ogos ini.
Projek bernilai RM170,000 itu dijangka siap dalam tempoh tiga bulan, iaitu pada 31 Oktober 2026, dan akan dilaksanakan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Sesi penyerahan tapak projek kepada kontraktor telah diadakan pada Khamis sebagai langkah awal bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Keron Mapus, bersama Ketua Kaum Kampung Bra’ang Payang, James Hook serta Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Mambong, Smith Apong.
Pelaksanaan projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, di samping memperkukuh jaringan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.
Inisiatif tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat secara langsung kepada kesejahteraan rakyat, selaras dengan agenda pembangunan kawasan DUN Mambong. -EDISI UKAS