Pendekatan 3R Bantu Penjawat Awam Sarawak Kekal Relevan
KUCHING: Pendekatan 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge perlu dijadikan budaya kerja dalam Perkhidmatan Awam Sarawak bagi memastikan penjawat awam kekal relevan, berdaya saing dan responsif terhadap perubahan teknologi serta keperluan rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penjawat awam perlu sentiasa menilai semula prosedur, pekeliling dan amalan kerja sedia ada agar ia selari dengan perubahan landskap pentadbiran, perkembangan teknologi dan keutamaan kerajaan.
Menurut beliau, pendekatan yang pernah berkesan suatu ketika dahulu mungkin tidak lagi sesuai pada masa kini, justeru budaya penambahbaikan berterusan perlu diterapkan dalam setiap organisasi.
“Pendekatan 3R membolehkan kita menilai semula cara bekerja (Revisit), berani mengubah pendekatan yang tidak lagi relevan (Rethink) serta memperkukuh keupayaan diri dan organisasi (Recharge) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Perkhidmatan Awam mesti kekal relevan. Kita perlu mempelajari kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, namun perkara paling penting ialah integriti,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Sarawak dan Penyampaian Surat Tawaran Pelantikan, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kemajuan teknologi termasuk AI sedang mengubah cara kerajaan merancang dasar, membuat keputusan dan menyampaikan perkhidmatan, sekali gus menuntut penjawat awam menguasai teknologi tersebut bagi meningkatkan produktiviti dan mempercepat pelaksanaan tugas.
Bagaimanapun, katanya, teknologi tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia, integriti dan akauntabiliti yang menjadi tunjang utama kecemerlangan Perkhidmatan Awam.
Beliau menambah, walaupun Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak akan terus menyediakan latihan yang bersesuaian, setiap pegawai bertanggungjawab memperkukuh kompetensi diri bagi menghadapi cabaran semasa.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (HRDM) Datu Sharifah Rohana Wan Alwi. -EDISI UKAS