Penjawat Awam Baharu Digesa Hayati Budaya Pembelajaran Berterusan
KUCHING: Penjawat awam yang baharu dilantik diseru mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan mereka sentiasa peka terhadap dasar, inisiatif dan hala tuju Kerajaan Sarawak dalam memenuhi keperluan perkhidmatan awam yang semakin dinamik.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, setiap pegawai perlu mengambil inisiatif memperluaskan pengetahuan dan tidak hanya bergantung kepada ilmu yang diperoleh di institusi pengajian tinggi atau latihan rasmi semata-mata.
Menurut beliau, keupayaan pegawai memahami isu-isu semasa serta dasar yang sering diketengahkan oleh Premier Sarawak mencerminkan tahap kesiapsiagaan mereka dalam menyokong agenda pembangunan negeri.
“Sebagai pegawai kanan, jika ingin mengetahui sesuatu perkara, kita perlu berusaha sendiri. Kita mesti mempunyai inisiatif untuk menambah ilmu dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Sarawak dan Penyampaian Surat Tawaran Pelantikan, di sini pada Khamis.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menggalakkan penjawat awam memanfaatkan platform digital serta teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai medium untuk meningkatkan kefahaman terhadap isu semasa dan bidang yang kurang dikuasai, selaras dengan perubahan teknologi yang pesat.
Pada majlis itu, seramai 22 penerima menerima surat tawaran pelantikan tetap sebagai Pegawai Tadbir Gred N9, manakala tujuh lagi dilantik sebagai Penolong Pegawai Tadbir Gred N5.
Beliau berkata, pelantikan tersebut bukan sekadar membuka lembaran baharu dalam kerjaya, malah merupakan amanah besar yang menuntut setiap pegawai bekerja secara lebih strategik, kreatif dan inovatif demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Bekerjalah secara kreatif dan inovatif, amalkan semangat kerja berpasukan serta pimpin melalui teladan bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.
Mengimbas perjalanan kerjayanya, beliau berkongsi bahawa permohonannya untuk menyertai Perkhidmatan Tadbir Sarawak pada 1988 tidak berjaya, sebelum memulakan kerjaya dalam sektor awam menerusi Yayasan Sarawak dan akhirnya dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata pengalaman tersebut membuktikan bahawa kegagalan pada peringkat awal bukanlah penentu masa depan, sebaliknya kejayaan bergantung kepada kesungguhan, kesediaan untuk terus belajar dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti.
Sehubungan itu, beliau menggesa penjawat awam agar menetapkan aspirasi yang tinggi kerana tidak mustahil mereka suatu hari nanti mampu menggalas jawatan tertinggi dalam Perkhidmatan Awam Sarawak seperti Setiausaha Kerajaan Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Peguam Besar Negeri, Setiausaha Kewangan Sarawak, Setiausaha Tetap kementerian atau ketua jabatan. -EDISI UKAS