Kerajaan Sarawak Percepat Proses Serah Milik Tanah Kampung Tradisi
BETONG: Kerajaan Sarawak terus berusaha mempercepatkan proses serah milik tanah kampung tradisi menerusi Program Pengukuran Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTN), sekali gus memberi jaminan pemilikan yang sah kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan luar bandar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM40 juta setiap tahun bagi melaksanakan kerja pengukuran tanah di seluruh Sarawak sebagai langkah mempercepat proses pengeluaran Surat Hak Milik Tanah (SHT).
Beliau berkata, inisiatif itu membolehkan pemilik yang layak memperoleh hak milik individu selepas melalui proses pengukuran, pewartaan dan penyelesaian persempadanan lot mengikut peruntukan Kanun Tanah Sarawak.
“Kerajaan Sarawak memperuntukkan kira-kira RM40 juta setiap tahun bagi melaksanakan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh negeri sebagai usaha mempercepatkan proses pengeluaran surat hak milik kepada rakyat,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi Kampung Triso Darat, di sini pada Khamis.
Menurut beliau, pelaksanaan Program Pengukuran Kampung Tradisi di bawah Seksyen 18 KTN membolehkan lot kediaman di kampung tradisi diukur dan diwartakan sebelum surat hak milik individu dikeluarkan kepada pemilik yang layak.
Katanya, menerusi pelaksanaan program itu, Kampung Triso Darat berjaya diwartakan dengan keluasan 3.56 hektar, sekali gus membolehkan 46 penduduk menerima Surat Hak Milik Tanah pada majlis tersebut.
Datuk Len Talif berkata, pemilikan tanah yang sah bukan sahaja menjamin hak rakyat terhadap tanah yang didiami, malah meningkatkan nilai aset, memudahkan urusan pembangunan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Beliau turut menggesa penduduk memanfaatkan tanah yang dimiliki secara produktif dan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan agenda pembangunan luar bandar.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, penyerahan surat hak milik yang sekian lama dinantikan penduduk membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat menikmati hak pemilikan tanah secara sah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong atas usaha melaksanakan kerja pengukuran sehingga membolehkan proses pemberimilikan tanah diselesaikan.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Surat Hak Milik Tanah kepada 46 penerima yang layak di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Pemangku Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Patricia Ngu Ming Hung dan wakil Pegawai Daerah Pusa Mohamad Lutfi Sini. -EDISI UKAS