Pusat Penjaja Baharu Bra’ang Padawan Siap, Perkasa Ekonomi Komuniti Setempat
PADAWAN: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh ekonomi luar bandar terus dizahirkan menerusi penyiapan Projek Pembinaan Baharu Pusat Penjaja Persatuan Bidayuh Bra’ang Padawan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Mambong, yang bakal menyediakan ruang perniagaan lebih selesa dan kondusif kepada penjaja tempatan.
Projek bernilai RM500,000 itu telah siap sepenuhnya dan kini sedia dimanfaatkan oleh komuniti setempat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan kecil untuk mengembangkan perniagaan dalam persekitaran yang lebih teratur.
Pembinaan kemudahan tersebut bermula pada September 2025 dan berjaya disiapkan mengikut jadual pada 19 Jun 2026.
Hadir menyaksikan penyerahan projek sisp berkenaan ialah Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Keron Mapus, bersama wakil JKR Bahagian Kuching serta barisan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bidayuh Bra’ang Padawan.
Pusat penjaja baharu itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat dengan menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih sistematik, di samping meningkatkan keselesaan peniaga dan pelanggan.
Pelaksanaan projek ini turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur berkualiti yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan sosioekonomi komuniti. -EDISI UKAS