OM Material, JKR Bahagian Bintulu Ungguli Pertandingan Perarakan BIKF 2026
BINTULU: OM Material Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu muncul pemenang utama Pertandingan Kontinjen Perarakan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 yang berlangsung meriah di sini pada Khamis.
OM Material Sdn Bhd dinobatkan sebagai penerima Anugerah Semangat Kontinjen Terbaik menerusi persembahan bertenaga dan semangat berpasukan yang menyerlah sepanjang perarakan.
Sementara itu, JKR Bahagian Bintulu membawa pulang Anugerah Pilihan Juri selepas memikat panel juri menerusi kreativiti, keunikan persembahan serta penampilan keseluruhan kontinjen.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu, Datu Muhamad Yakup Kari, yang turut mengikuti perarakan tersebut.
Sebanyak 22 kontinjen membabitkan 655 peserta mengambil bahagian dalam perarakan sejauh 1.5 kilometer itu yang bermula dari Kemena Plaza Hotel dan berakhir di pentas utama BIKF di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.
Perarakan berkenaan merupakan antara acara utama BIKF 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 26 Julai.
Ia menghimpunkan penyertaan daripada 19 negara serta bertujuan memperkukuh semangat perpaduan komuniti melalui gabungan elemen budaya, kreativiti dan kesenian. -EDISI UKAS