ART Dijadual Jalani Ujian Operasi di Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Perkhidmatan Autonomous Rapid Transit (ART) dijadual menjalani ujian operasi di Kota Samarahan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Perkembangan itu dimaklumkan Sarawak
Metro Sdn. Bhd. (Sarawak Metro) ketika menerima kunjungan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bagi sesi taklimat dan libat urus mengenai status terkini projek berkenaan.
Delegasi MPKS diketuai Pengerusi Perbandaran MPKS, Kr Abang Ismawi Abang Ali disambut Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts Mazli Mustaffa.
Selain perkembangan pembinaan sistem ART, Sarawak Metro turut membentangkan kemajuan pembinaan Stesen Rembus yang terletak dalam kawasan pentadbiran Kota Samarahan.
Ujian operasi ART yang akan dilaksanakan kelak bertujuan menilai keberkesanan laluan, prestasi sistem serta tahap integrasinya dengan rangkaian pengangkutan awam.
Dalam sesi tersebut, MPKS turut menggesa supaya langkah proaktif diteruskan bagi mengurangkan gangguan lalu lintas sepanjang tempoh pembinaan serta memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa diberi perhatian.
Kedua-dua pihak turut bersetuju meneruskan kerjasama bagi memastikan pelaksanaan Projek KUTS berjalan lancar di Kota Samarahan.-EDISI UKAS