Kerajaan Sarawak Sokong Inisiatif Tukun Tiruan Pulihara Sumber Perikanan
MUKAH: Kerajaan Sarawak terus menyokong usaha Jabatan Perikanan Malaysia memperkukuh pemuliharaan sumber perikanan menerusi pelaksanaan program tukun tiruan bagi melindungi habitat marin dan menjamin kelestarian sumber laut.
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib berkata, program tersebut bukan sahaja membantu memulihkan ekosistem marin, malah meningkatkan hasil tangkapan nelayan serta menyediakan kawasan pembiakan bagi pelbagai spesies hidupan laut.
Menurut beliau, pelaksanaan program tukun tiruan di perairan Mukah sejak tahun 1998 telah melibatkan peruntukan sebanyak RM6.758 juta sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memulihkan habitat marin.
"Program tukun tiruan ini merupakan antara langkah penting dalam memastikan sumber perikanan terus terpelihara, selain memberi manfaat kepada komuniti nelayan yang bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan.
“Komuniti nelayan perlu memahami kepentingan tukun tiruan kerana ia memastikan kesinambungan habitat marin, sekali gus menjamin sumber pendapatan nelayan serta bekalan makanan yang berterusan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Jenis Penghalang Pukat Tunda di Perairan Laut Penipah, di Dataran Pasar Mukah, pada Jumaat.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Dato' Adnan Hussain.
Dato Hanifah turut menegaskan kepentingan pengendalian hasil laut yang cekap melalui sistem rantaian sejuk bagi memastikan kualiti makanan laut sentiasa terpelihara, sekali gus mengurangkan pembaziran serta menjamin bekalan protein yang selamat kepada pengguna.
Ujarnya, usaha memelihara biodiversiti marin perlu dipertingkatkan berikutan perubahan iklim serta ancaman terhadap habitat spesies ikan bernilai tinggi seperti ikan merah.
Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat, khususnya komuniti nelayan supaya bersama-sama memelihara kebersihan sungai dan laut serta segera melaporkan sebarang aktiviti penangkapan ikan secara haram kepada pihak berkuasa.-EDISI UKAS